Sukan Para ASEAN: Sasaran Malaysia tidak berubah 

Oleh Staff Writer 26 Disember 2019 53
Sukan Para ASEAN: Sasaran Malaysia tidak berubah 
Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Muhd Iqbal Sulaiman, menjamin pungutan pingat kontinjen negara dalam Sukan Para ASEAN Filipina, Mac depan tidak akan terjejas walaupun atlet elit para memilih untuk tidak menyertainya.
 

Sukan Para ASEAN Ke-10 itu pada asalnya dijadualkan dari 18 hingga 24 Januari depan, namun akibat masalah yang dihadapi, ia dicadang dianjurkan dari 20 hingga 28 Mac depan.
 
Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) menerusi satu kenyataan sebelum ini menyatakan kekurangan bajet dan kelewatan pengeluaran dana menjadi punca temasya dwitahunan itu terpaksa ditangguhkan.
 
Perkembangan tersebut menyebabkan beberapa atlet berkemungkinan memilih untuk mengundurkan diri daripada temasya dwitahunan tersebut, sekali gus menjejaskan pungutan pingat kontinjen negara.
 
"Ia tidak begitu menjejaskan kerana semua atlet negara sudah bersedia.
 
"Tetapi ia akan sedikit 'kacau' program atlet untuk menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (Ogos depan).
 
"Tetapi bukan semua sukan yang akan terjejas manakala atlet utama seperti olahraga dan tenis berkerusi roda antara tujuh jenis sukan yang terlibat dalam Sukan Paralimpik," katanya.
 
Bagaimanapun, Iqbal tidak menafikan kelewatan Sukan Para ASEAN akan memberi kesan negatif terhadap prestasi atlet negara.
 
"Kami kena fokus untuk melaksanakan kedua-duanya.
 
"Ia akan memberi sedikit tekanan kepada barisan atlet tetapi inilah pengorbanan mereka buat negara," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen