Sukan Para ASEAN: Nurdin digesa atasi gemuruh

Oleh Staff Writer 10 Januari 2020 50
Sukan Para ASEAN: Nurdin digesa atasi gemuruh
Persediaan mental atlet olahraga jarak jauh para negara, Muhamad Nurdin Ibrahim, menjadi kerisauan ketua jurulatih olahraga para, R. Jeganathan, bagi menghadapi Sukan Para ASEAN 2020, Mac depan. 

Nurdin antara yang menyumbang pingat dalam temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu dengan meraih dua pingat perak dan satu gangsa. 

Atlet berusia 23 tahun itu, bagaimanapun, terlepas Kejohanan Olahraga Para Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dubai, bulan lalu. 

Saingan Terbuka Perak bulan depan bakal menjadi kejohanan sulung, sekali gus menjadi pemanas badan sebelum mereka ke Filipina.

Menurut Jeganathan, Nurdin antara yang menunjukkan peningkatan prestasi menerusi program latihan harian, namun ia menjadi kegusaran buatnya apabila anak buah kendaliannya itu gagal mengawal perasaan gemuruh ketika hari kejohanan. 

"Dia menunjukkan peningkatan dalam soal kepantasan dan ketahanan, cuma kelemahan mentalnya menjadi kerisauan.

"Dia menunjukkan komitmen yang bagus ketika berlatih tetapi dalam kejohanan, dia seperti takut atau terlalu menghormati pencabarnya.

"Itulah kelemahannya," jelas jurulatih itu.

Dalam pada itu, Nurdin turut memasang sasaran peribadi untuk sekurang-kurangnya meraih satu emas dalam tiga acara yang dipertandingkan, iaitu 800, 1,500 dan 5,000 meter kategori (T20). 

"Prestasi saya semakin menunjukkan kemajuan. 

"Lazimnya, dalam kejohanan pertama setiap musim, atlet agak perlahan tetapi prestasi kami akan terus meningkat selepas itu," katanya. 



Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen