Sukan Para ASEAN: Faizol minta atlet kekal positif

Oleh Staff Writer 25 Disember 2019 20
Sukan Para ASEAN: Faizol minta atlet kekal positif
Jurulatih lontar peluru para negara, Faizol Haron, tidak mahu anak buahnya menjadikan penundaan Sukan Para ASEAN 2020 sebagai alasan untuk patah semangat, sebaliknya merancang strategi lebih ampuh. 

Kekurangan bajet dan pengeluaran dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Filipina (PHILAPGOC) tidak memberikan mereka pilihan  selain menangguhkan Sukan Para Asean 2020 ke satu tarikh baru.

Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) dalam satu kenyataan berkata PHILAPGOC atas nasihat PSC telah mencadangkan 20-28 Mac 2020 sebagai tarikh baru Sukan Para Asean ke-10.

Lantas, penangguhan temasya tersebut bukan sahaja memberi kesan ke atas prestasi atlet, malah menjejaskan persediaan mereka dalam mengumpul mata kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, Faizol menasihatkan kesemua atlet untuk kekal positif dan meneruskan persiapan dan latihan bagi memastikan tahap kecergasaan di tahap terbaik.

"Persiapan agak terganggu apabila saingan telah ditangguhkan sehingga bulan Mac. Kami akan merangka semula program sebelum menghadapi temasya itu," katanya.

"Buat masa ini, atlet-atlet utama negara yang bakal bersaing dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 masih lagi dalam perancangan untuk membuat penampilan di Manila.

"Ini kerana program latihan yang ditetapkan ialah menyertai saingan Sukan Para ASEAN sebagai salah satu medan persiapan mereka nanti."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen