Sukan Para ASEAN: Ahli APSF harus tetap tabah sungguhpun ditangguhkan

Oleh Bernama 31 Disember 2019 35
Sukan Para ASEAN: Ahli APSF harus tetap tabah sungguhpun ditangguhkan
Penangguhan edisi ke 10 Sukan Para  ASEAN 2020 di Filipina dari 18-24 Januari kepada 20-28 Mac 2020 tidak boleh dilihat sebagai rintangan utama bagi ahli Persekutuan Sukan Para Asean (APSF).

Sebaliknya. Presiden APSF, Maj Jen Osoth Bhavillai, menyeru setiap ahli untuk meneruskan sokongan dan bangkit bersama bagi menentukan kejayaan penganjuran kejohanan dwitahunan bagi atlet kurang upaya itu.

'Rantau ini menanti dengan penuh harapan bahawa tindakan dan pencapaian para atlet yang tidak pernah gagal dan akan terus memberi inspirasi kepada kita.

"Dengan semangat sejati ASEAN ‘Bergerak Bersama’, marilah kita maju ke hadapan dalam tahun baru dengan semangat dan tujuan diperbaharui dalam usaha kita untuk mengatasi cabaran lebih besar yang mendepani kita dalam dekad baru ini, "katanya dalam mesej tahun baharu beliau yang dimuatkan di laman Facebook APSF, hari ini.

Bhavillai yang juga setiausaha agung Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Thailand berkata, sejak penubuhan APSF pada 25 Oktober 2001, badan itu tetap teguh dan waspada dalam memenuhi misi mereka untuk memperkuatkan gerakan Paralimpik dalam kalangan ahli-ahlinya.

Beliau menambah bahawa APSF dan ahli-ahlinya telah berusaha keras mengurus perdana sukan dan gerakan Paralimpik dalam agenda pembangunan semua negara ASEAN selama 19 tahun yang lalu.

Sukan Para ASEAN berlangsung tiga kali di Kuala Lumpur, iaitu pada 2001, 2009 dan 2017; Hanoi, Vietnam (2003); Manila, Filipina (2005), Nakhon Ratchasima, Thailand (2008), Solo, Indonesia (2011), Naypidaw, Myanmar (2014) dan 2015 di Singapura.

Pada 20 Disember lalu, APSF mengumumkan bahawa Sukan Para ASEAN 2020 telah ditangguhkan berikutan kekangan kewangan dan pengagihan dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN (PHILAPGOC) Filipina.

Berikutan pengumuman itu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) dilaporkan menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Paralimpik Filipina pada hari yang sama.

 

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen