Para ASEAN: Persiapan atlet terjejas -- Megat Shahriman

Oleh Staff Writer 21 Disember 2019 8
Para ASEAN: Persiapan atlet terjejas -- Megat Shahriman
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, hampa dengan keputusan tuan rumah Sukan Para ASEAN, Filipina, menangguhkan saingan ke bulan Mac yang sepatutnya berlangsung bulan depan.

Berbaki lebih kurang sebulan, Malaysia dikejutkan oleh tuan rumah bagi penangguhan yang telah membabitkan 90 peratus persiapan kontinjen negara ke Filipina. 

Selain merencatkan fokus atlet negara yang kini dalam momentum terbaik, perkara itu turut melibatkan kerugian daripada segi penginapan, perjalanan serta kem latihan yang telah ditetapkan. 

Bagaimanapun, surat protes telah dihantar dengan harapan penangguhan temasya itu dibatalkan. 

"Kami (MPM) tidak bersetuju dengan penangguhan tarikh ini. Pada masa terdekat pihak MPM dan MSN (Majlis Sukan Negara) akan ke Bangkok untuk berjumpa presiden APSF. Kami berharap negara lain bersama kami untuk membuat rayuan supaya tarikh itu dikekalkan.

"Atlet kita patut menerima yang lebih baik, selepas segala persiapan dibuat dan mereka kini berada dalam momentum terbaik, sebelum mencapai prestasi puncak. Perbelanjaan juga banyak telah dibuat bukan sahaja untuk mempersiapkan atlet, malah untuk tempahan di sana.," katanya. 

Sementara itu, Megat Shahriman tidak menolak kebarangkalian perubahan atlet yang akan dihantar ke Filipina atau penarikan diri daripada temasya tersebut bergantung kepada keadaan yang mengganggu persiapan atlet negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. 

"Kami akan menilai terlebih dahulu kebarangkalian atlet yang bersaing dalam Sukan Paralimpik dan menentukan atlet yang mungkin terpaksa diketepikan daripada temasya tersebut."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen