Para ASEAN: Malaysia tetap hantar atlet di sebalik penundaan

Oleh Staff Writer 20 Disember 2019 159
Para ASEAN: Malaysia tetap hantar atlet di sebalik penundaan
Malaysia akan tetap menyertai Sukan Para ASEAN di Filipina walaupun temasya itu ditunda ke Mac tahun depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan pihaknya akan merombak semula program latihan atlet kebangsaan.

Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) mengumumkan temasya dwitahunan itu yang sepatutnya dianjurkan bulan depan terpaksa ditunda ekoran masalah kewangan dan pengangkutan.

Ia tamparan hebat memandangkan semua negara peserta sudah berada dalam fasa akhir persiapan.

Malaysia, yang merancang menghantar 215 atlet, terpaksa merombak program latihan, termasuk membatalkan kem latihan pusat bermula 11 Januari ini.

Begitu juga pengumuman sasaran pingat rasmi yang sepatutnya diadakan selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang.

"Momentum daripada segi psikologi atlet menghadapi saingan ini terjejas. Bukan sahaja Malaysia, malah setiap negara yang bersaing dalam Sukan Para ASEAN.

"Kami akan membincangkan mengenai persiapan atlet dan mungkin akan menganjurkan kejohanan sebagai persiapan dan mengekalkan tahap kecergasan atlet," katanya.

Terdahulu, Shapawi menandatangani memorandum persefahaman projek perkhidmatan penambahbaikan sistem I-Games di antara MSN dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sistem keputusan perlawanan itu akan digunakan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan dan jika berjalan lancar, kerajaan dapat menjimatkan RM8 juta untuk setiap temasya.

"Pasukan kami akan berusaha untuk menghasilkan sistem keputusan yang digunakan dalam saingan tempatan dan jika ia berhasill, kami mungkin akan berusaha untuk memperluaskannya ke pentas antarabangsa," kata Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Aini Ideris.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen