Para ASEAN: Malaysia mungkin kurangkan penyertaan -- Megat Shahriman

Oleh Bernama 9 Januari 2020 14
Para ASEAN: Malaysia mungkin kurangkan penyertaan -- Megat Shahriman
Kontinjen Malaysia dijangka mengurangkan jumlah atlet ke Sukan Para ASEAN (APG) Ke-10 di Filipina kerana tarikh penganjuran sukan serantau itu bertembung dengan beberapa kejohanan antarabangsa. 

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata jumlah atlet sebenar yang akan menyertai temasya itu akan diputuskan bulan depan, dengan mengambil kira kejohanan penting untuk atlet negara melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo. 

Beliau berkata sebelum ini pihaknya memutuskan untuk menghantar 369 atlet menyertai temasya yang pada asalnya dijadualkan bulan ini tetapi ditunda tuan rumah kepada 20 hingga 26 Mac depan. 

"Kami akan bincang balik dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan persatuan sukan (para) sebelum mengumumkan angka sebenar pada 13 Februari nanti.

"Ia kerana beberapa sukan seperti olahraga, memanah dan badminton mempunyai kejohanan kelayakan Paralimpik.

"Bukannya kami memandang rendah APG tetapi atlet kami perlu mengumpul mata kelayakan yang penting. Selepas menentukan jumlah penyertaan, baru kami akan menentukan sasaran pingat," katanya.

Kebanyakan atlet terkemuka olahraga para dijangka tidak menyertai APG kerana Kejohanan Olahraga Antarabangsa Fazza dijadualkan bermula dari 14 hingga 17 Mac di Dubai, iaitu siri pertama dalam lapan siri Grand Prix dunia yang akan berlangsung sehingga Jun. 

Malaysia menghantar kontinjen terbesar dengan 331 atlet apabila menjadi tuan rumah bagi edisi 2017 untuk meraih tempat kedua keseluruhan dengan kutipan 90 emas, di belakang Indonesia yang meraih 126 emas. 

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen