Para ASEAN: Jangan tunda lagi -- Subramaniam

Oleh Ammar Hakim 17 Mac 2020 36
Para ASEAN: Jangan tunda lagi -- Subramaniam
Penundaan Sukan Para ASEAN ke Oktober depan bakal menjadi yang terakhir dipersetujui oleh Malaysia untuk menyertai temasya dwitahunan tersebut setelah ditunda tarikh sebanyak tiga kali.

Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) mengumumkan tarikh baru untuk Sukan Para ASEAN di Filipina akan berlangsung 3 hingga 9 Oktober ini bergantung kepada wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R. Subramaniam, menjelaskan penangguhan Sukan Para ASEAN untuk kali keempat bakal menyaksikan Malaysia menarik diri daripada temasya dwitahunan tersebut.

"Pendapat saya, penundaan saingan Sukan Para ASEAN ini telah menghilangkan keterujaan saingan tersebut," kata Subramaniam ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.

Tambahnya lagi, Filipina menganjurkan semua sukan ketika temasya tersebut seperti yang dijanjikan dan tidak akan menggugurkan mana-mana sukan daripada temasya tersebut.

"Kami telah berhubung dengan pihak penganjur di Filipina dan mereka telah mengesahkan kekal dengan 16 sukan untuk dipertandingkan."

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, berpandangan penangguhan Sukan Para ASEAN merencatkan program latihan yang disediakan untuk atlet para negara.

Jeganathan menilai program latihan skuad negara seperti situasi ombak apabila terpaksa meningkatkan dan kembali menurunkan intensiti latihan supaya atlet tidak mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Jeganathan tidak bimbang dengan situasi tersebut dan optimis perancangan untuk pemburuan pingat temasya tersebut tetap tinggi.

"Matlamat kami adalah memastikan atlet berada di tahap terbaik dan berusaha untuk mempertahankan pingat yang diraih dalam saingan Sukan Para ASEAN sebelum ini. Ramai yang berusaha untuk persiapan atlet berada di tahap terbaik," katanya.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen