MPM bantu persatuan sukan para penuhi kriteria ditetapkan KBS

Oleh Bernama 17 Jun 2020 62
MPM bantu persatuan sukan para penuhi kriteria ditetapkan KBS
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sedang meneliti skim bantuan menerusi Inisiatif Prihatin Sukan 2020 untuk memastikan permohonan persatuan sukan para kebangsaan diproses dengan cepat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Megat Zaharudin, berkata pihaknya akan memberi nasihat dan tunjuk ajar sewajarnya kepada persatuan untuk membuat permohonan mengikut syarat yang ditetapkan KBS.

"MPM menggesa semua persatuan sukan kebangsaan, terutama 24 persatuan sukan para yang bernaung di bawah MPM, memanfaatkan sepenuhnya pakej rangsangan ini bagi meningkatkan urus tadbir dan prestasi sukan negara ke tahap lebih tinggi. 

"Kami yakin peruntukan khas yang diberikan ini akan memberi nafas baharu kepada hampir 200 pemegang taruh persatuan sukan kebangsaan untuk kembali berkembang dalam persekitaran yang lebih menuntut aktiviti berbentuk pendigitalan," menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi satu rakaman video mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada persatuan sukan kebangsaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Dana itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu RM2 juta diagihkan untuk bantuan pengurusan; RM5 juta bagi program serta aktiviti dan RM3 juta untuk program pendigitalan serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada semua persatuan sukan kebangsaan yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Megat Shahriman berkata MPM menyambut baik langkah kerajaan, khususnya KBS, yang memperkenalkan inisiatif itu dalam usaha meningkatkan dan merangsang daya tahan persatuan sukan kebangsaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Bantuan ini membuktikan betapa kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib persatuan sukan kebangsaan yang juga pemain utama industri sukan. MPM percaya menerusi bantuan ini juga dapat membantu semua persatuan sukan para melaksanakan aktiviti dan meningkatkan urus tadbir persatuan.

"MPM memuji langkah KBS untuk membenarkan setiap persatuan sukan memohon hingga RM30,000 bagi bantuan program pendigitalan dan R&D. Bantuan khas untuk mendigitalkan persatuan sukan itu sangat penting dalam memastikan mereka mempunyai pangkalan data lebih tersusun serta memudahkan akses dan urus tadbir persatuan," katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen