Ricky, Fatin atlet terbaik Sabah 2015-2016

Oleh Oleh Willie Jude 1 November 2017 221
Ricky, Fatin atlet terbaik Sabah 2015-2016
Jaguh karate dan memanah compound negara, Ricky Leong Tze Wei dan Fatin Nur Fatehah Mat Salleh, masing-masing dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sabah bagi tahun 2015/2016.

Dua atlet itu diberikan anugerah berkenaan sempena Anugerah Sukan Negeri Sabah kali ke-28 di Kota Kinabalu, malam tadi.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian mereka dua tahun lalu, apabila turut menerima anugerah sama kerana pencapaian cemerlang mereka sepanjang tahun 2013 dan 2014.

Anugerah Olahragawan Terbaik itu juga adalah yang ketiga berturut-turut bagi Ricky, selepas turut mencapai kejayaan sama pada 2013.

Antara pencapaiannya sepanjang tahun 2015 dan 2016 termasuk memenangi pingat emas untuk negara dalam Kejohanan Liga Premier 1 Karate Dunia 2015 dan Kejohanan Karate-do Asia Tenggara Ke-4.

Selain itu, dia turut memenangi dua pingat perak untuk Malaysia dalam Kejohanan Karate Terbuka Al-Ahli Dubai serta Kejohanan Karate-do Asia Ke-13 di samping berada pada ranking ke-10 dunia. 

Sementara itu, antara pencapaian Fatin sepanjang 2015 dan 2016 ialah memenangi pingat emas dalam beberapa kejohanan, iaitu Kejohanan Memanah Piala Dunia Tahap 1, Sukan Universiti Asia Tenggara 2016, Kejohanan Antarabangsa Terbuka UPM dan Piala Asia Tahap 2 selain memenangi gangsa dalam Kejohanan Memanah Universiti Dunia 2016.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan masing-masing dimenangi Muhammad Shauqi (memanah) dan Marceeta Marylin Marcus (angkat berat) manakala Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Terbaik dimenangai Didin Terasoh (badminton) dan Felicia Mikat (olahraga). 

Pasukan ragbi Sabah pula memenangi Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik manakala skuad sepak takraw muncul penerima Anugerah Pasukan Wanita Terbaik. 

Lain-lain penerima ialah Tony Sawan (Jurulatih Terbaik), Kesatuan Ragbi Sabah (Persatuan Sukan Terbaik), Awang Kinit (Kepimpinan Sukan).

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, yang sebelum itu menyampaikan anugerah kepada kesemua pemenang turut menerima Anugerah Tokoh Sukan Sabah. 

Turut hadir dalam majlis malam tadi ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Tentang Penulis

Oleh Willie Jude

Komen