Kedah tetap tidak gentar -- Aidil Sharin

Oleh Staff Writer 28 Februari 2020 173
Kedah tetap tidak gentar -- Aidil Sharin
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, serta barisan pemainnya tidak gentar dengan kelebihan psikologi yang dimiliki Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan menerima sokongan sekitar 35,000 penyokong dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Di atas kertas, JDT dilihat terlalu ampuh di setiap posisi, apatah lagi mereka bersemangat untuk melakar kemenangan pertama dalam aksi pembukaan di stadium baru itu.

Kedah sedar jika mereka berupaya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti, sekurang-kurangnya mereka sudah mengutip 1 mata untuk perlawanan yang turut menjadi sebahagian daripada aksi Liga Super.

"Ia akan jadi aksi hebat di stadium baru. Bukan hanya pemain tetapi peminat turut teruja. Jelas sekali ia akan menjadi hari yang penting buat kedua-dua pasukan. Kami perlu tampil dengan aksi terbaik," kata Aidil Sharin.

Ternyata pengendali itu mempunyai perancangan tersendiri apabila sesi latihan terakhir mereka semalam di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah, Skudai dilaksanakan secara tertutup.

Kali terakhir Kedah berdepan skuad Harimau Selatan adalah ketika final Piala Malaysia tahun lalu, menyaksikan skuad Hijau Kuning berputih mata tewas 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Setiap pasukan profesional mahukan latihan tertutup kerana mahukan menyembunyikan rahsia skuad. Saya rasa ia persiapan yang diperlukan. Saya fikir ia bukan perkara baru dalam bola sepak."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen