81 hari menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengeluarkan buku panduan versi kedua bagi tujuan keselamatan semua pihak sekaligus menyaksikan temasya kali ini berlangsung dalam suasana kritikal dan penuh tekanan dalam sejarah.

Sehubungan itu, presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, akan mengadakan bengkel persediaan buat atlet serta pegawai untuk memahami sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan penganjur.

Buku panduan versi kedua setebal 51 muka surat itu bertujuan untuk meningkatkan keyakinan bahawa Sukan Olimpik akan dapat diteruskan meskipun pandemik masih belum dikawal sepenuhnya menjelang hari pembukaan 23 Julai ini.

Antara intipati pengkhususan ialah atlet tidak dibenarkan untuk menggunakan pengangkutan awam dan kekal di dalam gelembung sukan ketika berada di Tokyo selain keperluan untuk menjalani ujian Covid-19 setiap hari.

Sementara itu, Norza mengumumkan pembawa bendera negara bagi Olimpik Tokyo, atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad dan pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama kontingen negara diwakili dua pembawa bendera dengan Liu Ying muncul pemain badminton ketiga diberi mandat itu selepas Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Razif Sidek.