Pengumuman tarikh baru penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi kelegaan kepada komuniti sukan, terutama golongan atlet yang sedikit terjejas daripada segi mental kerana ketidakpastian susulan pandemik Covid-19.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata Malaysia amat berpuas hati tarikh baru temasya itu diketahui lebih awal daripada yang dijangkakan.

“MOM menyokong sepenuhnya keputusan untuk menganjurkan Sukan Olimpik Tokyo pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

"Penangguhan 12 bulan itu bukan sahaja memberikan peluang untuk kita memerangi Covid-19 dan memastikan keselamatan semua, tapi memberi masa yang mencukupi kepada atlet untuk bermula dan kembali kepada kemuncak prestasi mereka.

“Kami akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Persekutuan Antarabangsa untuk memastikan temasya ini berlangsung dengan adil, khususnya membabitkan proses kelayakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IOC memutuskan Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan, iaitu tepat setahun dari tarikh asal yang dijadualkan pada 24 Julai tahun ini.

Ia akan diikuti dengan Sukan Paralimpik Tokyo dari 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Tarikh baru itu dipersetujui oleh IOC, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan Kerajaan Jepun selepas satu telesidang semalam.

Mohamad Norza berkata MOM akan terus menjalinkan kerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), atlet dan semua pihak berkepentingan untuk memastikan persiapan semua atlet berada di landasan yang betul untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik pertama buat Malaysia.

“Kami mengalu-alukan temasya 2021 dan saya yakin janji Tokyo 2020 dapat dilaksanakan.

"Saya tidak ragu sebagai satu pasukan, kami akan berjaya mengatasi kesukaran dan semua akan lebih baik disebabkan itu,” katanya.

-- BERNAMA