Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, belum putus asa mencabar tiket ke Sukan Olimpik Tokyo biarpun belum cergas sepenuhnya untuk beraksi dalam acara 100 meter.

Terbaru, juara Sukan SEA 2017 itu hanya akan beraksi dalam 400m dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix Malaysia, hujung minggu ini.

Ketiadaan Khairul bermakna saingan 100m kurang saingan termasuk tanpa juara Sukan SEA 2019, Haiqal Hanafi, yang menarik diri ekoran kecederaan buku lali.

Pelari berusia 23 tahun itu masih fokus terhadap aspek kecergasan selepas pulih kecederaan hamstring.

"Keputusan untuk bersaing dalam acara 400m merupakan peluang untuk saya mendapatkan semula keyakinan beraksi dalam acara 100m. Ia merupakan peluang bagi saya mendapatkan semula kekuatan fizikal, memastikan keadaan hamstring berada di tahap terbaik," kata Khairul Hafiz.

Beberapa jaguh utama seperti Andre Anura Anuar (lompat kijang), Zaidatul Husniah Zulkifli (pecut), Nauraj Singh (lompat tinggi) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) tidak beraksi.

Sementara itu, Lee Hup Wei dijangka tiada masalah meraih emas walaupun buat penampilan sulung selepas pulih jangkitan Covid-19.

"Saya tidak menjangkakan melakukan lompatan yang terbaik kerana baru sahaja pulih daripada Covid-19 dan memulakan semula latihan dan jika dapat melakukan lompatan yang terbaik, ia dianggap sebagai bonus," kata Hup Wei.