Penerjun negara, Cheong Jun hoong, berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik apabila muncul penerjun terbaik sesi kelayakan acara 10 meter platform wanita Kejohanan Terjun Siri Piala Dunia untuk layak ke separuh akhir sekaligus mengesahkan tempatnya ke Tokyo.

Bagaimanapun, Jun Hoong bukan sekadar mahu layak menerusi posisi lapan terakhir tetapi juara dunia 2017 itu melakukan lebih daripada itu.

Namun terjunan pertamanya dengan darjah kesukaran 3.0 meraih 57 mata dan hanya menduduki ranking ke-16.

Bagaimanapun, terjunan hampir sempurna Jun Hoong dalam pusingan kedua menyaksikan dia meraih 78.30 mata tambahan sekaligus naik ke ranking pertama.

Dia meningkatkan darjah kesukaran kepada 3.2 dalam terjunan ketiga, tetapi mengalami penurunan mata dan turun ke ranking kedua.

Jun Hoong bangkit dalam pusingan keempat dengan sekali lagi terjunan hampir sempurna sekaligus merampas kembali ranking pertama sambil dicabar penerjun Russia.

Jun Hoong menutup sesi kelayakan dengan satu lagi terjunan terbaik dalam pusingan kelima sekaligus layak ke separuh akhir selaku ranking pertama dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo secara merit.

"Saya sangat bersyukur kerana layak ke Sukan Olimpik, terima kasih atas sokongan anda semua dan akan terus melakukan yang terbaik buat Malaysia," kata Jun Hoong.

Sementara itu, Ng Yan Yee, menjadi wakil tunggal dalam final 3 meter papan anjal wanita.

China tidak menghantar kontinjen yang besar namun ada dua penerjun china dalam kategori itu, Chen Yiwen dan Chang Yani, jadi pasti peluang Yan Yee untuk menaiki podium agak sukar.

Yan Yee memulakan terjunan pertama dengan kategori kesukaran 3.0, inward 2 and 1/2 somersault bagi memperoleh 58.50 mata.

Yan Yee menduduki tangga kesembilan selepas pusingan pertama dan dalam pusingan kedua Yan Yee memilih kadar kesukaran 3.1 dengan gaya 3 and a 1/2 somersault.

Terjunan Yan Yee tidak memuaskan dengan rata-rata mengutip 4.0 mata dan peluang untuk memperbaiki kedudukan semakin sukar selepas menghuni tangga tercorot selepas pusingan kedua.

Akhirnya Yan Yee terpaksa akur menamatkan saingan di tangga ke-11 sementara China telah memberi amaran awal menerusi Yiwen yang unggul di final.