Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, mengakui berdepan cabaran untuk mengekalkan prestasinya menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Ia susulan arahan kawalan pergerakan yang ditetapkan Kerajaan Malaysia bagi membendung wabak Covid-19 sehingga hujung bulan ini.

Atlet kelahiran Selangor itu mencipta sensasi sebagai gimnas pertama menamatkan penantian 16 tahun negara untuk layak ke temasya itu tahun lalu.

Dia berharap dapat mempamerkan prestasi terbaiknya dalam temasya terbesar itu, namun berdasarkan keadaan semasa, ia kelihatan sukar untuk direalisasikan.

"Sudah pasti prestasi saya akan menurun sedikit kerana saya hanya dapat menjalani latihan fizikal dan tidak dapat menajamkan kemahiran saya.

"Tetapi buat masa ini, saya fikir perkara paling utama adalah kesihatan setiap orang.

"Saya hanya mahu berfikir secara positif dan meneruskan latih-tubi saya di rumah.

"Ia sentiasa sukar, saya fikir setiap orang sedang melalui perkara sama.

"Saya tahu ada beberapa atlet yang mempunyai peralatan gimnastik di rumah mereka.

"Jadi, saya hanya mahu kekal cergas di rumah supaya tahap kecergasan saya tidak menurun.

"Harap-harap apabila segalanya sudah selesai, kami dapat kembali berlatih dan memberikan yang terbaik," katanya.