Persatuan Renang AS telah memohon Sukan Olimpik Tokyo ditangguhkan sehingga 2021, menyatkan atlet-atlet mereka bimbang di sebalik pandemik koronavirus.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach, berkata pembatalan temasya -- yang bakal bermula 24 Julai ini -- bukanlah agenda mereka tetapi mahu mendapatkan senario yang berbeza.

Majoriti sukan di seluruh dunia telah dihentikan kerana Covid-19, yang telah meragut nyawa lebih daripada 11,000 orang.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Persatuan Renang AS, Tim Hinchey, telah meminta Jawatankuasa Olimpik AS & Paralimpik untuk menunda temasya ke tahun hadapan.
"Keutamaan Persatuan Renang AS adalah memastikan keselamatan atlet-atlet, staf, sukarelawan dan ahli-ahli lain," kata Hinchey.

"Oleh kerana pandemik global ini telah berkembang, kami menyaksikan kebimbangan terpancar di raut wajah atlet-atlet kami yang menyaksikan cita-cita untuk beraksi dalam Sukan Olimpik seakan sudah berakhir.

"Perenang bertaraf dunia kami sedia untuk berlumba sesiapa, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, tetapi krisis Covid-19 kini bertambah teruk.

"Dengan beban kebimbangan yang serius ini, kami dengan hormatnya meminta bahawa Jawatankuasa Olimpik & Paralimpik AS untuk berusaha menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke tahun hadapan."