Olahraga Dunia menyambut baik penundaan Sukan Olipik Tokyo 2020 dan akan mengubah sistem kelayakan untuk ke temasya itu.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) malam tadi mengesahkan bahawa temasya itu, yang sepatutnya bermula pada 24 Julai depan, tepaksa ditunda ke tahun depan berikutan pandemik Covid-19.

Presiden IOC, Thomas Bach, meletakkan jangka masa empat minggu untuk mengeluarkan keputusan sama ada temasya itu boleh dilangsungkan mengikut jadual asal atau tidak, walaupun menerima tekanan yang besar untuk mengumumkan penundaan berkenaan.

Olahraga Dunia berkata adalah penting untuk atlet menyedari kedudukan mereka dan akan memaklumkan secepat mungkin mengenai perubahan proses kelayakan ke temasya itu.

"Olahraga Dunia mengalu-alukan keputusan IOC dan Kerajaan Jepun untuk menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke 2021," kata badan pentadbir global itu dalam satu kenyataan.

"Ia adalah apa yang diinginkan atlet dan kami percaya keputusan ini akan memberikan kesemua atlet, pegawai teknikal dan sukarelawan beberapa waktu dan gambaran jelas untuk menghadapi waktu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kami akan terus melakukan apa yang kami mampu untuk mengadakan satu musim baru daripada satu mesyuarat khas dalam tahun 2020 -- yang akan bermula dan berakhir lebih awal daripada apa yang sepatutnya.

"Jadi, buat atlet, apabila keadaan kembali selamat, mereka dapat menyertai kejohanan di setiap negara.

"Ini akan membantu mereka untuk menilai prestasi dan menyesuaikan latihan dengan sewajarnya bagi menghadapi Sukan Olimpik pada 2021.

"Dengan pengumuman ini, kami juga akan mempercepatkan kajian semula tentang sistem kelayakan ke Sukan Olimpik, dengan kerjasama IOC, dan mengumumkan sebarang perubahan dalam proses itu secepat mungkin supaya atlet tahu di mana kedudukan mereka," katanya.