Vettel nafi dakwaan wakili Mercedes musim depan

Oleh Staff Writer 5 Disember 2016 1
Vettel nafi dakwaan wakili Mercedes musim depan

Sebastian Vettel menepis dakwaan bahawa dia bakal menggantikan Nico Rosberg di Mercedes susulan persaraan mengejut juara dunia Formula 1 itu musim ini.

Vettel dan Fernando Alonso telah disebut-sebut selaku pengganti yang berpotensi menjadi rakan sepasukan Lewis Hamilton bagi mengharungi musim 2017.

Mercedes berharap dapat mengesahkan pengganti sebelum hujung tahun ini, namun Vettel bingkas menangkis khabar angin tersebut dan menegaskan bahawa dia masih memiliki kontrak bersama Ferrari.

Juara dunia empat kali itu turut yakin dia mampu tampil lebih kompetitif musim depan tatkala peraturan baharu diterapkan pada tahun 2017.

"Semua sedia maklum bahawa saya dan Kimi Raikkonen masih terikat kontrak bersama Ferrari sehingga musim depan," Vettel memberitahu Gazzetta dello Sport pada Hari Ferrari yang berlangsung di Daytona International Speedway.

"Saya dan Kimi sangat komited. Kami akan tampil lebih kompetitif pada tahun 2017.

"Meskipun kami gagal mencapai objektif musim ini, tetapi penting untuk kami bekerja keras dalam mempersiapkan jentera baru dalam tempoh dua bulan ini.

"Saya yakin kami akan mempersiapkan pakej yang lebih mantap."

Sementara itu, Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne, turut berkongsi sikap optimis Vettel menjelang musim baru meskipun pasukannya ketinggalan 367 mata di belakang Mercedes.

"Saya terkejut dengan pengumuman Rosberg," katanya."Kehilangannya menyentuh hati saya.

"Tetapi Mercedes tidak akan tampil lebih lemah tanpa Rosberg. Saya cuma boleh berharap Ferrari akan lebih mantap musim depan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen