Rosberg maklumkan Hamilton sebelum umum persaraan

Oleh Staff Writer 3 Disember 2016 4
Rosberg maklumkan Hamilton sebelum umum persaraan

Nico Rosberg memaklumkan kepada Lewis Hamilton terlebih dahulu sebelum mengumumkan persaraannya daripada Formula 1.

Juara dunia Formula 1 itu mengejutkan dunia sukan permotoran dengan pengumuman persaraan pada Jumaat, lima hari selepas dinobat juara dunia di GP Abu Dhabi.

Berkawan sejak usia 13 tahun, hubungan baik di antara Rosberg dan Hamilton sering kali diuji dengan persaingan sengit di atas litar.

Rosberg turut mengakui sebelum perlumbaan terakhir di Abu Dhabi bahawa sukar untuk mereka mengekalkan hubungan rapat mereka ekoran sering kali bersaing antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Rosberg mendedahkan dia telah memaklumkan Hamilton terlebih dahulu sebelum mengumumkan persaraanya secara rasmi.

"Saya telah memberitahu Lewis terlebih dahulu kerana itu adalah tindakan yang paling tepat," katanya ketika menghadiri Majlis Anugerah FIA di Vienna.

"Kami sudah menempuh pelbagai persaingan dan pergaduhan, jadi saya berasakan perlu untuk dia mengetahui keputusan saya terlebih dahulu.

"Saya terpaksa melakukannya dengan cepat, kerana itulah saya menghantar mesej kepadanya. Mungkin kami akan duduk berbincang selepas ini.

"Keutamaan diberikan kepada pasukan untuk mereka mengetahui keputusan saya lebih awal. Kerana itulah saya tidak sempat untuk memberitahu mereka yang dekat dengan saya."

Rosberg beraksi dalam 206 perlumbaan dalam kariernya dan berjaya memenangi 23 perlumbaan di samping berjaya menaiki podium sebanyak 57 kali.

Pelumba berusia 31 tahun itu menegaskan dia tidak akan menarik balik keputusannya.

"Sampai di sini sahaja. Kisah saya sudah berakhir."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen