Rosberg hampiri kejuaraan, Hamilton kecewa sekali lagi

Oleh Staff Writer 9 Oktober 2016 1
Rosberg hampiri kejuaraan, Hamilton kecewa sekali lagi

Nico Rosberg semakin menghampiri kejuaraan sulung  Formula 1 musim ini apabila menjuarai GP Jepun sebentar tadi.

Kemenangan itu turut menghadiahkan pasukannya, Mercedes, muncul selaku juara pengeluar buat kali ketiga berturut-turut.

Pelumba Jerman itu mendominasi Litar Suzuka pada Ahad untuk merekodkan kemenangna keempat selepas lima perlumbaan setakat ini.

Permulaan yang mantap dari Rosberg meletakkan dia di depan pemandu Red Bull, Max Verstappen, dan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton.

Hamilton -- pencabar terdekat Rosberg yang juga pemenang di Suzuka dua tahun lalu -- gagal bermula dengan baik, sekali gus jatuh ke kedudukan kelapan.

Bagaimanapun, pelumba British itu kembali memperbaiki kedudukannya dan menamatkan perlumbaan di belakang Verstappen.

Dengan berbaki empat perlumbaan, Rosberg kini mendahului kejuaraan dengan 33 mata di hadapan Hamilton.

Sementara itu, Hamilton menyalahkan keadaan tayar yang hilang cengkaman di permulaan perlumbaan menjadi punca dia jatuh ke kedudukan kelapan.

Ketinggalan 33 mata bererti Hamilton tidak akan berpeluang muncul juara musim ini meskipun memenangi kesemua empat baki perlumbaan jika Rosberg berjaya menduduki kelompok tiga terbaik dalam setiap perlumbaan.

"Saya gembira berjaya mengejar kembali pelumba lain dan menduduki tempat ketiga," Hamilton memberitahu Sky Sports.

"Saya tidak tahu mengapa tayar hilang cengkaman sehingga berlakunya 'wheelspin'. Saya perlu mendengar penjelasan barisan jurutera kenderaan."

Hamilton turut memuji kejayaan pasukannya yang muncul juara pengeluar buat kali ketiga berturut-turut.

"Pasukan ini menjalankan tugas yang menakjubkan musim ini. Saya berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada pasukan ini."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen