Persaraan Rosberg bukan kejutan -- Hamilton

Oleh Staff Writer 2 Disember 2016 1
Persaraan Rosberg bukan kejutan -- Hamilton

Lewis Hamilton tidak terkejut dengan keputusan rakan sepasukannya di Mercedes, Nico Rosberg, untuk bersara daripada Formula 1, namun berpendapat ia satu kehilangan besar bagi sukan permotoran.

Rosberg mencetuskan kejutan pada Jumaat apabila mengumumkan persaraan pada usia 31 tahun, lima hari selepas mengetepikan cabaran Hamilton di GP Abu Dhabi untuk digelar juara dunia F1 buat julung kalinya.

Hamilton dan Rosberg mengenali antara satu sama lain pada usia 13 tahun lagi, namun hubungan kedua-dua pelumba tersebut berubah menjadi tegang berpunca daripada persaingan di atas litar.

Hamilton muncul juara dunia pada tahun 2014 dan 2015, namun berpendapat kejuaraan dimenangi Rosberg musim ini merupakan faktor utama persaraan rakan sepasukannya itu.

"Saya mungkin antara beberapa individu yang tidak terkejut dengan pengumuman itu," kata Hamilton ketika menghadiri acara Majlis Anugerah FIA di Vienna.

"Tetapi ini kerana saya mengenali dia sejak kecil lagi. Ini adalah kali pertama dia muncul juara selepas 18 tahun, jadi ia bukan satu kejutan apabila dia mengumumkan persaraan ini.

"Dia juga perlu memberi fokus kepada anak dan isterinya.

"Kami bermula pada usia 13 tahun dan kami sering berkata mahu muncul juara dunia satu hari nanti. Ketika saya menyertai Mercedes, Rosberg sudah pun berada dalam pasukan itu, ketika itu sekali lagi kami membincangkan impian masing-masing.

"Musim depan mungkin agak janggal buat saya, senario ini juga amat mendukacitakan. F1 akan merindui Rosberg. Saya ucapkan semoga berjaya dalam apa jua perkara yang dilakukannya."

Persaraan Rosberg sekaligus meninggalkan kekosongan di Mercedes, namun Hamilton menegaskan dia tidak ada sebarang pengaruh dalam mencari rakan sepasukan yang baru.

"Saya bukan jenis pelumba yang akan mempunyai kuasa untuk menentukan siapakah rakan sepasukan saya sepertimana yang termaktub dalam kontrak pelumba seperti Fernando Alonso dan Sebastian Vettel," tambahnya.

"Saya hanya mahu kami dilayan sama rata. Itu sahaja."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen