Hamilton tekad terus buru Rosberg di GP Abu Dhabi

Oleh Staff Writer 14 November 2016 0
Hamilton tekad terus buru Rosberg di GP Abu Dhabi

Lewis Hamilton berkata dia akan terus memburu rakan sepasukannya bersama Mercedes, Nico Rosberg, tatkala penentuan juara dunia Formula 1 akan ditentukan dalam perlumbaan terakhir musim ini.

Peyandang juara, Hamilton, menjuarai GP Brazil di hadapan Rosberg yang menghuni tempat kedua.

Kini mendahului kejuaraan dengan 12 mata di hadapan Hamilton, Rosberg sedar dia hanya perlu menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga terbaik di Litar Yas Marina, Abu Dhabi, pada 27 November ini.

Kemenangan Hamilton di Interlagos meletakkan dirinya di tempat kedua selaku pemenang terbanyak Formula 1 dengan 52 kemenangan, dengan Michael Schumacher kekal mendahului rekod tersebut.

Bercakap ketika di podium di Sao Paulo, Hamilton menegaskan dia akan terus memberi tekanan terhadap rakan sepasukannya dalam perlumbaan terakhir musim 2016.

"Saya dalam misi memburu," katanya. "Apa yang saya boleh lakukan ketika ini adalah meneruskan apa yang saya lakukan. Pasukan telah mempersiapkan jentera yang mantap dan ia dibuktikan di akhir perlumbaan.

"Abu Dhabi sering memberikan keputusan yang baik kepada saya.

"Kami sedang melakar sejarah dengan pasukan ini. Saya bangga kerana dapat menjadi sebahagian kejayaan pasukan ini."

Hamilton turut mendedahkan kemenangan pertamanya di Interlagos telah melunaskan impiannya untuk menyamai pencapaian idolanya, Ayrton Senna.

"Sudah menjadi impian saya sejak melihat Ayrton berlumba. Saya sangat bernasib baik minggu ini," jelasnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen