Lanjutan tarikh tempoh perpindahan pemain pertama sehingga 5 Mac dapat diterima beberapa pasukan yang berasakan perkara itu sewajarnya dilakukan ekoran kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain kebenaran latihan yang bermula 15 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang antara yang bersetuju dengan langkah itu kerana ia membuka ruang dalam membuat penilaian terhadap pemain sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia yang bermula pada 5 Mac ini.

Beliau menegaskan dalam menilai kualiti seseorang pemain, pihak kejurulatihan tidak boleh membuat keputusan melulu dan perlu melihat prestasi semasa mereka sebelum mengikat mana-mana pemain.

“Bukan sahaja Pahang, keputusan ini memang akan berikan banyak ruang kepada pasukan lain kerana apabila latihan terhenti seketika kerana PKP dan sebagainya, perancangan pasukan juga terganggu.

“Terima kasih saya ucapkan atas keputusan ini walaupun saya tidak nafikan ada pasukan tidak bersetuju namun jika dilihat balik, banyak pertimbangan perlu dilakukan dalam tempoh sebegini.

“Apabila pemain itu sampai, dia kena kuarantin dan perlu melalui pelbagai proses dengan segalanya dilakukan secara maya, jadi banyak masa diperlukan sebelum pemain itu baru boleh turun berlatih.

“Kita tidak boleh menilai sesuatu pemain itu dalam satu atau dua hari dan setiap jurulatih memerlukan masa dan jika tidak sesuai, pasukan boleh tukar dengan pemain lain dan saya positif dengan apa diumumkan oleh MFL, semalam,“ katanya.

Pada Khamis, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah melanjutkan tarikh jendela perpindahan pemain pertama sehingga 5 Mac 2021 untuk Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, FIFA telah menghantar surat pemakluman itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan perkhabaran itu mampu memberikan suntikan moral kepada pasukan-pasukan untuk membuat persiapan lebih rapi.

Kata lagi Dato’ Ab Ghani, MFL memohon tarikh lanjutan jendela perpindahan pemain pertama di atas faktor-faktor terdapat permohonan daripada pasukan yang hadapi masalah dengan pemain asing dan tempatan selain berkaitan dengan persiapan pasukan dalam tempoh PKP.

Pengurus besar Negeri Sembilan FC, Firdaus Bhari turut berkongsi pandangan yang sama dengan Sri Pahang FC sambil menyatakan tiap pasukan kini berpeluang semula untuk menilai mana-mana pemain import sebelum sepak mula Liga Malaysia.

Memandangkan masa yang tinggal hanya dua minggu, pemain import yang hendak didaftarkan perlu berada di tahap kondisi terbaik termasuk tahap fizikal dan kecergasan.

“Bagi saya ini berita yang menggembirakan kepada semua pasukan kerana kita semua sedia maklum persiapan pasukan terjejas serba sedikit kerana PKP tempoh hari.

“Lanjutan pendaftaran pemain import ini sedikit sebanyak membuka ruang kepada pasukan kejurulatihan agar tidak terburu-buru dalam melakukan pendaftaran pemain kerana mereka ada masa untuk menilai situasi semasa mana-mana pemain.

“Apa yang lebih mustahak, kemampuan pemain itu mampu berada di tahap yang jurulatih mahu sebelum liga bermula melalui pemantauan doktor serta jurulatih kecergasan, jadi langkah ini sememangnya tepat,“ katanya.

Kredit: MFL