Tiada perubahan besar akan dilakukan oleh kelab bolasepak Kuala Lumpur City (KL City FC) apabila jendela perpindahan kedua dibuka pertengahan musim ini.

Pihak pengurusan KL City berpuas hati dengan prestasi semasa yang dipersembahkan The City Boys selepas sembilan perlawanan Liga Super dengan skuad kendalian Bojan Hodak itu kini menghuni tangga keenam.

12 mata yang diraih KL City dalam sembilan perlawanan setakat ini merupakan permulaan terbaik The City Boys sepanjang bersaing dalam Liga Super.

Berdasarkan kepada prestasi semasa, ketua pegawai eksekutif KL City, Stanley Bernard Samuel, ternyata teruja melihat kepada proses yang sedang dilalui pasukannya setakat ini.

"Apabila mengambil pasukan ini, perkara yang saya mahukan adalah prestasi yang konsisten, kerana ia adalah perjalanan bagi bola sepak Kuala Lumpur, kami sedang mendaki dalam pembangunan pasukan," kata Stanley.

Bekas pemain Kuala Lumpur itu turut memberi gambaran tiada perubahan besar akan berlaku ketika jendela perpindahan kedua nanti.

"Berdasarkan dua perlawanan akan datang, ia akan menentukan sebarang perubahan dalam pasukan dan jika gagal menghasilkan keputusan yang baik, mungkin penambahbaikan akan dilakukan."