Terengganu FC menepati ramalan apabila berjaya kembali menemui rentak kemenangan dengan mengatasi UiTM FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Skuad kendalian Nafuzi Zain memulakan permainan dengan cemerlang dengan mengikut setiap perancangan dengan baik -- permainan yang membuahkan hasil diterjemahkan menerusi dua jaringan berjaya terhasil dalam tempoh 10 minit permainan.

David da Silva membuka jaringan pada minit kelapan, gerakan dimulakan Faisal Halim berjaya melakukan lorongan buat pemain import itu sebelum tenang melepaskan jaringan.

Dua minit berselang giliran Faisal pula menemui jaringan, bijak melakukan larian ke dalam kotak penalti sebelum menanduk masuk hantaran Hakimi Abdullah.

Kemenangan Terengganu dilengkapkan Rahmat Makasuf 12 minit sebelum tamat permainan, Makan Konate yang bijak melepaskan lorongan ke sayap kanan sebelum Rahmat melepaskan rembatan leret mengatasi penjaga gol lawan, Azfar Arif.

Sementara di Stadium Darul Aman, jaringan penalti memastikan kemenangan buat pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim ke atas Kedah untuk menang 1-0 sebentar tadi.

Dalam perlawanan sengit antara kedua-dua pasukan, saling berusaha melancarkan serangan telah dipisahkan jaringan penalti Bergson da Silva ketika perlawanan berbaki dua minit sebelum tamat.

Keputusan lain:

KL CITY 3 PENANG FC 1