Terengganu FC memastikan mereka terus memberikan tekanan buat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), apabila menewaskan Perak FC 2-0 di Ipoh sebentar tadi.

Kemenangan terbaru itu menyaksikan skuad Peteh berkenaan turut mengumpulkan sembilan mata penuh daripada tiga perlawanan musim ini dan hanya dibezakan jumlah jaringan dengan JDT.

Gol daripada Faisal Halim dan Dechi Marcel dalam babak berbeza sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan itu dalam aksi saling berbalas asakan berkenaan.

Terengganu memberikan amaran awal pada minit kedua apabila hantaran Faiz Nasir disepak ke tiang gol oleh penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah, biarpun penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy ,sudah tertewas.

Seminit berselang, Mintah sekali lagi memberikan ancaman buat kubu Perak tetapi tandukannya sedikit melewati palang gol.

Susulan tandukan awal Mintah yang terkena palang, Faisal kemudian melakukan percubaan leret ke penjuru kiri bawah gawang Hafizul Hakim untuk memberikan pasukan pelawat kelebihan satu jaringan pada minit ke-25.

Perak berpeluang menyamakan kedudukan selepas setengah jam permainan tetapi percubaan berturut-turut daripada Guilherme De Paula dan Nazirul Naim Che Hashim sekadar menuju ke pertahanan lawan.

Aksi bermula agak seimbang pada awal babak kedua dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Bagaimanapun, permainan terlalu santai pemain Perak mengundang padah pada penghujung permainan apabila Mintah bijak mencari Marcel yang tidak dikawal sebelum pemain tengah itu melepaskan percubaan jarak jauh bagi menewaskan Hafizul Hakim buat kali kedua.

? KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS3 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Sunday, 14 March 2021