Tchetche Kipre wira drama lewat Kedah benam KL City  

Oleh Shaiful Shamsudin 24 April 2021 3670
Tchetche Kipre wira drama lewat Kedah benam KL City  
KEDAH DARUL AMAN 3 KL CITY 2


Kedah Darul Aman memastikan tiga mata dalam kerancakan 10 minit terakhir di Stadium Darulman yang menyaksikan Kuala Lumpur (KL) City terpaksa pulang hampa. 


Tchetche Kipre menghadiahkan kemenangan 3-2 buat anak buah Aidil Sahrin Sahak itu dengan meledak dua gol dalam masa kecederaan, sebentar tadi. 

Lang Merah terlebih dahulu mengasak menerusi dua percubaan berbahaya ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, sebelum pelawat mula menyusun gerakan tetapi buntu dalam deretan sepakan penjuru untuk mengikat kedudukan 0-0 menuju bilik persalinan. 

Perlawanan bertukar wajah apabila barisan kendalian Bojan Hodak itu mendahului menerusi rembatan deras Paulo Josue, namun pengganti kepada Faizat Ghazli -- yang tercedera dalam babak pertama -- Fayadh Mohd Zulkifli Amin kembali meletakkan kedudukan 1-1 selepas menerima umpanan Kipre. 

Di sebalik melambat-lambatkan perlawanan, The City Boys kembali di depan dengan tandukan pemain import dari Australia, Giancarlo Gallifuoco, tetapi ia hanya menyemarakkan lagi asakan Kedah yang untuk berpeluang menyamakan kedudukan selepas penyerang gantian, Rohaimi Rahman, ditolak dari belakang.  

Tidak cukup selepas menyempurnakan sepakan penalti itu, Tcheche -- yang beraksi tanpa gandingan lazimnya, Kpah Sherman --  membuktikan teknik sepakannya dari luar kotak penalti pula untuk kemenangan mereka dalam aksi ke-10 minggu ini. 

 

📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS10 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Friday, April 23, 2021


Kemenangan itu menyaksikan Kedah memintas Terengganu yang akan beraksi menentang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), malam esok. 

Dalam satu lagi pertembungan Liga Super, Selangor terpaksa berpuas hati terikat 2-2 ketika Sabah bertandang ke Stadium MBPJ.

Walaupun Ifedayo Olusegun dua kali menggegar gawang untuk meletakkan Gergasi Merah 2-1 di depan pada minit ke-72 -- bagi memadam gol pendahuluan Sabah yang diledak Amri Yahyah dalam separuh masa pertama -- sebelum kedudukan itu lebur dengan jaringan penyamaan Bobby Gonzalez, dua minit menuju wisel penamat. 

Keputusan lain:

JDT II 2 Kelantan 2 

Perak II 0 Skuad Projek FAM/MSN 0 



 

📊 KEDUDUKAN LIGA PREMIER - LP10 #LigaPremier2021

Posted by Malaysian Football League on Friday, April 23, 2021





 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen