Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Salleh, berpendapat pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Fairuzi Mat Desa, berdepan ujian berat dalam kariernya.

Kegagalannya dalam memutuskan sepakan penalti sekali gus memberi kelebihan 2-1 kepada Petaling Jaya (PJ) City di Stadium MBPJ, malam tadi, sebelum kebangkitan lewat Melaka United untuk mengikat kedudukan 2-2 pada masa kecederaan.

Subkhiddin menggariskan dua elemen yang mampu membantu keputusan pengadil untuk menghidu insiden yang boleh berlaku.

"Pengadil ini berada dalam pandangan yang salah. Dia tidak bergerak awal ke kawasan yang jangkaan ketibaan bola dalam perlawanan.

"Pemain yang sepatutnya menerima hantaran awal tadi dihadang oleh ramai pertahanan Melaka.

"Tiada peluang untuknya membuat percubaan ke arah gol, cuma ada dua pemain lagi yang dalam kotak penalti tersebut boleh memberi impak.

"Saya selalu ingatkan pengadil supaya jangan lihat kepada reaksi berlebihan oleh pemain. Mereka perlu melihat perbuatan pertahanan seperti menendang.

"Ini boleh memberi gambaran sebenar mengapa pemain itu terjatuh," katanya ketika memberikan pandangan dalam Nadi Arena sebentar tadi.





Bekas pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM itu berkata kebanyakan insiden boleh dikesan berdasarkan pengamatannya terhadap tindakan pemain yang boleh diduga.

"Jika pengadil itu berada di posisi yang baik, dia cuma perlu melihat bagaimana aksi pertahanan tadi.

"Tentu pengadil nak lihat (mengesan perbuatan) kedua-dua pemain tersebut tetapi fokus lebih terarah kepada pertahanan.

"Apabila seseorang pemain itu dilihat jatuh tentulah kita pelik," katanya.

Tambahnya lagi: "Dalam situasi satu lawan satu, penyerang teruja untuk menjaringkan gol kerana apabila anda menyumbat gol pada lewat permainan, anda akan jadi wira pasukan.

"Ada banyak pilihan (untuk mereka menjaringkan gol) seperti sengaja merebahkan badan. Itu sebahagian daripada taktikal tetapi pengadil perlu fokus dan peka selain memberi kerjasama yang baik.





"Saya lihat pembantunya kekal di posisinya sebaik pengadil memberikan penalti, tidak ke posisi (sebagaimana) sepakan penalti itu diambil -- inilah tindakan bijak oleh seorang pembantu pengadil.

"Saya dapat rasakan betapa kecewanya pengadil tersebut apabila dia menyedari kesilapannya.

"Yang ini boleh tular satu dunia."