Shahrel Fikri Md Fauzi melaung amaran untuk terus meledak jaringan sambil mengakui berada di kemuncak motivasi untuk menghadapi Pahang di Stadium Darulmakmur, esok.

Bukan niat untuk mengejar pencapaian peribadi, Anugerah Kasut Emas, penyerang itu menegaskan keutamaanya adalah melunaskan misi The Bos Gaurus iaitu layak ke Piala AFC musim depan.

Penggempur kebangsaan itu menerajui senarai penjaring terbanyak Liga Super dengan sembilan gol daripada sembilan penampilan.

Lebih-lebih lagi, 56 peratus daripada gol Perak musim ini disumbangkannya, sekali gus meletakkan skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu di tangga kedua Liga Super -- di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang masih segar ditabalkan juara.

Jika dibandingkan prestasi di antara Perak dan Pahang, pelawat memperoleh peratusan kemenangan yang lebih tinggi apabila hanya tewas dua kali sementara Tok Gajah tidak begitu ampuh selepas tewas empat kali.

"Malam esok (pasti) bukan mudah bagi saya kerana pemain-pemain Pahang mungkin memberikan kawalan ketat.

"Ia mungkin situasi sukar tetapi saya mahu berikan 100 peratus untuk pasukan," katanya yang menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai sumber rujukan utama dalam kariernya ketika ditemui wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di Kuantan hari ini.

Persiapan terakhir skuad utama bagi misi mengutip 3 mata penuh ketika menentang Pahang esok. #CIMBLigaSuper #KejorrYobKejorr #KejorrYobSkorr

Posted by Perak TBG on Friday, October 2, 2020


Dalam masa sama, dia melihat tumpuan yang akan diberikan bukan lesen untuknya bebas merobek pintu gol skuad bimbingan Dollah Salleh itu.

"Saya anggap ia sebagai satu motivasi, kami sebagai pemain kadang-kadang sudah biasa dengan cacian dan pujian, jadi itu semua adalah normal. Kami perlu buang keruh dan ambil jernih.

"Saya mahu berikan yang terbaik buat Perak dan kekalkan momentum," katanya lagi.