Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, menganggap keputusan seri 0-0 ketika menentang Sabah FC dalam perlawanan Liga Super di laman sendiri semalam merupakan satu keputusan yang adil sambil menganggap kedua-dua pasukan itu telah mempamerkan permainan yang cukup berkualiti.

Dia juga tidak dapat menafikan gerakan yang direncanakan Sabah banyak memorak-perandakan pasukannya tetapi Hodak memuji keampuhan barisan pertahanannya yang mempamerkan aksi cemerlang.

"Kekecewaannya adalah kami tidak dapat meneruskan rekod kemenangan di tempat sendiri tetapi seperti yang saya katakan, adakalanya anda tidak selalunya menang.

"Sabah pasukan yang baik dan mereka telah membuktikannya ketika menewaskan Terengganu minggu lalu dan keputusan 0-0 itu adalah satu keputusan yang adil buat kedua-dua pasukan.

"Saya tidak gemar bercakap mengenai individu tetapi saya fikir pertahanan kami sekali lagi beraksi dengan amat baik.

"Kami tidak dibolosi sekali lagi, jadi ia bermakna pertahanan kami telah beraksi lebih daripada baik tetapi masih terdapat beberapa ruang untuk diperbaiki," katanya.

Sementara itu, Sabah turun tanpa tiga pemain utama, iaitu Sukri Baharun, Azizan Nordin dan Sabri Sahar.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Kurniawan Yulianto, tetap berpuas hati dengan corak permainan anak buahnya walaupun sekadar memungut satu mata.

"Kalau bercakap mengenai perlawanan ini, memang tidak sepatutnya kami sekadar seri," kata Kurniawan.

"Kami mempunyai banyak peluang dan mengawal permainan tetapi dengan satu mata ini, kami tetap bersyukur kerana ia dapat mengubah kedudukan kami dalam liga."

Aksi di Stadium Cheras itu bermula lewat 20 minit berikutan masalah teknikal melibatkn lampu limpah.