Pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, menganggap ketetapan kalendar baru Liga Malaysia September ini masih relevan meskipun penangguhan ia memberi impak meluas terutamanya membabitkan pemotongan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menetapkan September depan sebagai tempoh untuk menyambung perjalanan kalendar bola sepak negara selepas permohonan yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditolak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, MFL merumuskan tujuh perkara yang terkandung dalam perancangan baru kalendar Liga Malaysia 2020, merancang untuk meneruskan Liga Super dan Liga Perdana dari 1 hingga 27 September depan menerusi format separuh liga sahaja.

Piala Malaysia akan berlangsung dari 17 Oktober hingga 7 November depan tanpa melibatkan saingan peringkat kumpulan sambil Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Mahfizul berpandangan ia merupakan langkah yang wajar bagi memastikan kelangsungan bola sepak negara walaupun ia membabitkan isu pemotongan gaji.

"Lambat ataupun tidak, kita semua perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Pihak MFL sangat mementingkan kebajikan pasukan dalam situasi yang perlu dihadapi ketika ini," katanya yang dihubungi oleh wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.