Sentuhan pertama pemangku pengendali UiTM FC, Reduan Abdullah, tidak menjadi selepas pasukan universiti itu gagal meraih tiga mata dalam aksi kelapan Liga Super.

Jelas hanya beberapa hari mengambil tugas Frank Bernhardt yang direhatkan tak cukup buat Reduan dan terpaksa akur dengan kekalahan ketujuh mereka musim ini.

Masalah utama yang dilihat Reduan dalam skuad The Lion Troops itu adalah kurang keserasian antara pemain menyebabkan penyerang tiada support daripada bahagian tengah.



"Kami tidak memiliki peluang untuk melakukan gerakan ketika menyerang dengan baik. Saya mengakui kami bermain baik pada permulaan permainan namun jaringan yang dibolosi menjejaskan tumpuan permainan pasukan," kata Reduan.

Harapan melihat gandingan Stefan Nikolic dan Alex Goncalves tidak menjadi realiti buat ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, apabila Goncalves mengalami kecederaan dan terpaksa direhatkan untuk tempoh yang panjang.

Nikolic yang baru sahaja pulih daripada kecederaan, tidak bermain dalam beberapa perlawanan sebelum ini diturunkan dalam kesebelasan utama menentang UiTM FC bagi mengisi tempat yang ditinggalkan Goncalves.

Bagaimanapun, Zainal berpuas hati dengan gandingan Nikolic dan Sony norde yang berjaya memecah kebuntuan masalah pasukan melaka selama ini iaitu ketumpulan penyudah.

"Saya tidak menafikan permainan Melaka tersusun dan peluang yang dimiliki digunakan sebaik mungkin," kata Zainal.