PKNS FC sedang memantau beberapa calon import baru bagi menguatkan skuad dengan jolokan Semut Merah itu menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), 15 Mei ini.

Antara calon import yang sedang diuji PKNS termasuk bekas tonggak Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama West Bromwich Albion (WBA), Kim Do-heon dari Korea Selatan dan pemain dari Portugal, Fabio Fereira, yang beraksi di Liga Australia.

"Buat masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan.

"Ada beberapa pemain sudah pun turun (menjalani latihan).

"Mungkin selepas menentang Kedah nanti (Liga Super hujung minggu ini), lebih ramai calon pemain yang akan turun untuk dipilih mengisi slot yang diperlukan.

"Mungkin kami cuba tiga atau empat calon lagi untuk dipilih bagi menguatkan posisi tertentu," kata ketua jurulatih, E. Elavarasan.