Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, mengakui pasukan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu sedang mengalami kemerosotan apabila terikat 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Selepas rekod 21 bulan tanpa kalah mereka lebur di tangan Terengganu FC minggu lalu, pasukan Harimau Selatan itu masih gagal mengembalikan rentak kemenangan apabila diikat seri dalam perlawanan padat aksi sepanjang 90 minit itu.

Mora tidak menolak kedudukan JDT di tangga teratas musim ini mungkin akan dipintas pasukan lain sambil menganggap kemerosotan sesuatu pasukan terbaik adalah normal dalam bola sepak.

"Gol yang diperoleh KL adalah berpunca daripada kesilapan kami. Saya yang memilih (pemain) bagi perlawanan ini, jadi kami hanya perlu bangkit.

"Itulah situasinya, ia situasi dalam bola sepak di mana kami tidak dapat mengawal kesemuanya.

"Tetapi saya fikir kami sudah melakukan tugas dengan baik, JDT masih di puncak liga dan mungkin kami akan dikejar Terengganu sekiranya mereka menang (bertemu Penang FC malam ini).

"Kemudian kami masih ada perlawanan menentang Kedah (Darul Aman FC) dan daripada itu kami akan melihat sama ada kami dapat mengekalkan kedudukan di tangga teratas atau tidak.

"Saya tidak tahu tetapi kami akan mencuba, kami akan mencuba sedaya upaya, berusaha dengan lebih keras.

"Setiap pasukan dalam dunia pasti mengalami kemerosotan dalam satu tempoh sepanjang musim. Kami sudah berada di atas untuk tempoh yang panjang. Kami tidak boleh dianggap seperti Superman," katanya.

Aksi di Cheras menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas asakan sepanjang babak pertama tetapi KL City terlebih dahulu menemui sasaran menerusi penyudah Romel Morales, yang bijak meloloskan diri daripada perangkap ofsaid untuk mengatasi Adam Nor Azlin dan seterusnya menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias, dalam waktu kecederaan sebelum rehat.

Tiada sebarang petanda untuk KL City bermain secara bertahan dalam babak kedua dengan Hadin Azman terlebih dahulu menguji gawang pelawat tetapi percubaan kaki kirinya ditepis keluar Farizal.

Mujur ketua pasukan, Hariss Harun, mampu membawa watak penyelamat buat JDT apabila menanduk masuk bola sepakan percuma Nazmi Faiz Mansor untuk mengikat kedudukan buat pasukan kendalian Mora itu pada minit ke-55.