Selangor sudah memikirkan kunjungan ke Terengganu dalam misi untuk kekal dalam pemburuan kejuaraan Liga Super walaupun masih di peringkat awal saingan.

Ifedayo Olusegun terus memainkan peranan sebagai penyelamat Selangor menerusi tandukan pada minit ke-31 dalam aksi dengan Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi yang berkesudahan 1-1.

Ini bermakna dia meneruskan prestasi baik di depan gawang selepas meledak gol ketika menentang Pahang pada 1 Mac.



Bagaimanapun, jaringan peribadi itu tidak dapat mengubat duka kolektif Gergasi Merah yang terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

"Saya sentiasa inginkan pasukan yang diwakili meraih tiga mata kerana dengan mengumpul enam mata, kami bolehlah berada di puncak liga musim ini.

"Tetapi tidak mengapa, empat mata dalam dua perlawanan masih dikira baik," kata penyerang dari Nigeria itu.

Dalam masa sama,, pengendali Selangor, B. Sathianathan, menegaskan keperluan untuk bangkit dalam dua kunjungan sukar ke laman lawan, bermula dengan Terengganu pada Rabu ini dan Kedah empat hari berikutnya.

"Kami adalah satu-satunya pasukan yang akan mengharungi empat perlawanan awal di tempat lawan.

"Saya sedar ia sukar.

"Saya sudah katakannya bahawa kami akan mengharungi tempoh sukar sebaik mengetahui jadual lima perlawanan yang akan ditempuhi.

"Pasukan apakah yang sedang menduduki tangga pertama dan kedua ketika ini.

"Selepas ini mereka (Melaka) akan menentang Felda jadi selepas ini mereka ada sesuatu yang boleh menahan (daripada kritikan).

"Secara psikologinya ia memberi rangsangan kepada mereka tetapi tidak bagi kami, kami bergelut.

"Namun, saya berpesan kepada anak buah supaya kuatkan mental," katanya.