Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) akan menjadi venue sementara Selangor selepas stadium keramat di Shah Alam tidak boleh digunakan disebabkan faktor keselamatan.

Bagi pengurus, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, banyak perkara terpaksa dikaji semula, termasuk pengurusan pas bermusim dan kawasan letak kereta yang melibatkan penyokong, namun pemilihan SNBJ merupakan yang terbaik buat masa ini.

Atas dasar mahu mengambil kira kepentingan semua pihak, pemilihan SNBJ itu turut berkait dengan kemudahan logistik pasukan itu menjelang perlawanan menentang Perak, Sabtu ini.

"Kami rasa Bukit Jalil adalah pilihan terbaik buat masa ini berdasarkan kepada kemudahan infrastruktur, fasiliti dan pengangkutan awam di kawasan tersebut.

"Ia sesuai untuk digunakan dan kami harap isu ini boleh ditutup dan pasukan dapat memberikan tumpuan terhadap perlawanan menentang Perak.

"Kami harap segalanya berjalan lancar," katanya.