B. Sathianathan akhirnya membuka mulut mengenai senario mengkritik kaum yang ditujukan terhadap pilihannya dalam kesebelasan utama Selangor.

Sathianthan membangkitkan isu itu dalam sidang media selepas berkongsi satu mata apabila diikat Perak 1-1 bagi aksi Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Ia tercetus selepas perkembangan di laman sosial media kebelakangan ini yang mengaitkan pemilihan pemain utamanya adalah berasaskan perkauman.

"Saya nak tanya, salahkan saya sebagai seorang jurulatih menurunkan seorang pemain 'keling' seperti saya.

"Cara mereka tulis macam langsung tidak pergi sekolah. Kita sudah merdeka selama 63 tahun tetapi masih ada yang memaki menggunakan perkataan 'anjing dan keling'.

"Saya dilahirkan di sebuah kampung melayu tetapi tidak pernah dengar (makian) macam ini. Tetapi kutukan orang ketika ini, gilalah.

"Pakai otak sikitlah. Selangor, pada tahun-tahun mereka berjaya telah (menurunkan) lima pemain (berbangsa) india, tiga cina dan empat melayu yang bermain dalam satu pasukan.

"Apabila saya baru meletakkan seorang dua pemain india, dah jadi macam ini.

"Di Kelantan, saya letakkan dua pemain 'keling', mereka muncul juara. Itu Kelantan yang patut turunkan orang Kelantan.

"Ini (penyokong) Selangor tidak boleh terima. Budak itu nak turun pun takut," katanya.