"Saya pikul tanggungjawab ini," kata ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, selepas pasukannya diaibkan dengan kekalahan 6-1 di tangan Johor Darul Ta'zim FC (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Jelas pengendali itu, jaringan pertama JDT hasil sepakan percuma kaki kiri Safawi Rasid membunuh semangat juang anak buahnya sehingga usahanya untuk memberikan motivasi sebelum bermula babak kedua juga menjadi sia-sia.

Keadaan itu dimanfaatkan JDT untuk menambah lima gol lagi menerusi sentuhan Safawi, Diogo Luis Santo, Gonzalo Cabrera dan jaringan berganda pemain muda, Ramadhan Saifullah.

"Saya tidak salahkan sesiapa, saya salahkan diri saya kerana persiapan bagi babak kedua, mungkin saya kena kuatkan mental pemain," katanya dalam sidang media.

"Mungkin mental mereka terganggu dengan gol minit terakhir babak pertama tetapi saya tidak boleh salahkan semua pemain dan mengambil tanggungjawab itu."

Dalam pada itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, lega apabila anak buahnya menepati sasaran tiga mata tetapi tidak menjangkakan ia akan diperoleh dengan cara semudah itu.

"Apa yang saya jangkakan adalah kemenangan tetapi kami tidak menjangkakan cara bagaimana kami akan menang.

"Kami perlu menjangkakan saingan yang hebat daripada seteru ini.

"Daripada itu, jika kami menjaringkan satu, dua, enam, tujuh, sembilan gol, itulah caranya permainan kami akan berkembang," katanya.