Rusdi Suparman yang dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Selangor bersedia menyahut cabaran itu jika menerima tawaran yang bersesuaian.

Rusdi, yang kini bertindak sebagai pembantu kepada Ismail Zakaria bersama Kuantan FA, mengakui masih belum menerima tawaran rasmi daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Namun, selaku bekas penyerang sensasi Red Giants pada era 90-an, Rusdi tidak berselindung mahukan jawatan itu jika berpeluang.

Tujuh tahun bergelar penolong jurulatih bersama Harimau Muda dan Kuala Lumpur, dia melihat peluang dan cabaran itu tiba pada waktu yang tepat.

"Sebagai pemain bola sepak, saya menyimpan hasrat untuk memegang jawatan ketua jurulatih Selangor kerana ia adalah sebuah nama yang cukup besar di Malaysia," katanya.

Sementara itu, pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad, semalam menjelaskan Rusdi berada dalam radar Selangor untuk menggantikan tempat P. Maniam.

Selaku bekas pemain, Rusdi faham tanggungjawab yang akan dipikul dalam membawa nama Selangor kembali ke puncak arena bola sepak Malaysia, sejajar dengan tuntutan daripada penyokong Red Giants.

"Seperti yang diketahui, Selangor adalah nama yang gah di pentas Liga Malaysia, jadi ia akan menjadi tanggungjawab yang cukup besar bagi diri saya.

"Mungkin berbekalkan pengalaman yang saya miliki, ia mampu membantu untuk membawa Selangor ke peringkat yang lebih tinggi di Malaysia," tambahnya.