Bekas penyerang Selangor, Rusdi Suparman, adalah antara calon yang sedang dinilai untuk mengisi kerusi panas ketua jurulatih Red Giants bagi menggantikan tempat P. Maniam yang telah direhatkan sejak 14 Mac lalu.

Perkara itu disahkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Rauf Ahmad, yang juga pengurus pasukan.

Rauf menjelaskan FAS berkemungkinan besar akan mengambil jurulatih tempatan sambil mengakui Rusdi yang kini bergelar penolong jurulatih Kuantan FA merupakan antara nama dalam senarai pendek.

Keputusan mengenai siapa pengganti Maniam bakal diketahui dalam satu mesyuarat yang akan diputuskan minggu depan.

"Kami sangat mengenali Rusdi dan saya sendiri pernah bermain bersamanya. Pemain-pemain serta penyokongjuga sedar dia adalah anak jati Selangor.

"Bagaimanapun, dia mungkin dalam radar kami tetapi keputusan masih belum dibuat," ujarnya.

Bagaimanapun, Rauf turut menjelaskan jurulatih sementara ketika ini, Muhammad Nazliazmi Mohd Nasir, masih berpeluang diberi jawatan tetap.

Dia mendapati wujud keserasian pemain Selangor bersama Nazliazmi yang menjadi resipi kejayaan pasukan untuk bangkit selepas dikecewakan dalam tiga aksi terakhir Liga Super.

"Kami melihat keserasian yang dimiliki di antara pemain-pemain dan Nazliazmi tampak positif. Kami melihatnya untuk kebaikan pasukan dan sedar bahawa harapan yang tinggi daripada peminat-peminat Red Giants perlu digalas dengan baik."