Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, diasak dengan pelbagai persoalan berikutan keengganan pengendali Croatia itu menggunakan khidmat penyerang sejati, Safee Sali.

Kondisi penyerang utama, Dominique da Silva masih dibelenggu kecederaan namun Hodak tidak melihat Safee sebagai pengganti tepat.

Sebaliknya lebih mengutamakan penampilan Romel Morales dan Paulo Josue di jentera serangan.

"Kami harus menerima hakikat, Safee bukan lagi seperti pemain yang beraksi pada 2012. Dia akan diturunkan mengikut perancangan dan formasi yang bersesuaian," kata Hodak.

Ia akan kekal begitu dan Hodak sendiri menegaskan tidak banyak perubahan yang akan berlaku menjelang pertemuan dengan Penang FC esok.

Berhadapan Penang, kelibat Casagrande tumpuan utama Hodak, yang dilihat mampu menjadi batu penghalang hasrat KL City mencetak kemenangan selepas terakhir melakukannya ke atas Pahang 10 April lalu.

"Casagrande beraksi dengan cemerlang dan kualiti serta kekuatan fizikal yang dimilikinya antara kunci utama pasukan dalam merencana serangan pasukan."

Sementara itu, Bojan menerima keputusan penjaga gol, Zamir Selamat untuk berhijrah meninggalkan pasukan.

Dengan ketiadaan Zamir, Hodak berancang untuk membawa masuk penjaga gol muda menjelang jendela perpindahan kedua nanti.

Dia turut mempertimbangkan kedudukan Dominique Da Sylva yang berterusan dilanda kecederaan.

Segalanya akan diputuskan sebaik pemain itu membuat pemeriksaan akhir minggu depan, berhubung kondisinya.

Jika sukar, Dominique perlu akur dengan keputusan pasukan.

"Zamir berhijrah ke UiTM secara pinjaman, dia memerlukan masa beraksi dan kami tidak mahu memiliki pemain yang tidak gembira, dia menerima tawaran dan kami membenarkan dia berhijrah."