Pertemuan di antara pasukan PKNP FC dan Kelantan semalam menyaksikan senario berbeza buat kedua-dua pasukan.

Kelab dari Perak itu merakamkan kemenangan 2-0, sekali gus naik ke tangga ketujuh Liga Super tatkala bagi Kelantan, ia kemungkinan menjadi kelibat terakhir Fajer Ibrahim sebagai pengendali pasukan.

Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mengakui lega dengan kemenangan ke atas Kelantan sehingga membolehkan mereka kini jauh dari zon penyingkiran.

Bagi bekas pertahanan Perak itu, barisan pemain telah mempraktikkan segala percaturan taktikalnya serta belajar daripada kesilapan selepas hanya seri 1-1 ketika bertemu PKNS FC dalam aksi sebelum ini.

"Karakter dan aksi konsisten diperlukan dalam Liga Super. Kami akan mengharungi lima perlawanan bulan ini dan saya berharap pemain-pemain segera pulih.

"Dalam tempoh empat hari lagi, saya harap momentum ini dapat diteruskan ketika kami bertemu Selangor," ujar Abu Bakar.

Aksi di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang itu turut menyaksikan kapten pasukan, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Hafiz Ramdan memainkan peranan penting buat PKNP.

Bagi Shahrel, kemenangan semalam seharusnya menambah keyakinan pasukan untuk tampil lebih konsisten selepas ini.

"Kami sudah jauh dari zon penyingkiran, kami perlu kekalkan momentum ini.

"Sebelum ini, kami bergelut untuk menyumbat gol biarpun pemain-pemain memberikan aksi terbaik," katanya.

Sementara itu, sidang media selepas pertemuan itu dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan Fajer Ibrahim selaku pengendali Kelantan.

Fajer tidak hadir ketika sidang media dan pengundurannya diumumkan penolong ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

"Fajer berkata mungkin ini perlawanan terakhir beliau bersama pasukan.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya tetapi saya menyampaikan amanah beliau.

"Beliau berasa gagal," katanya.

Bagi Yusri, walaupun Fajer berasa dirinya gagal mengendalikan Kelantan, pendekatan menggunakan tonggak muda mampu memberikan kesan positif dalam jangka panjang dan percaya kelompok pemain itu memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri beraksi di peringkat Liga Super.

"Bagi saya, dia tidak gagal. Dia sebenarnya telah membuka lembaran baru kepada bola sepak Kelantan.

"Pemain-pemain muda perlu mengatasi tekanan semasa," katanya lagi.


Kredit foto: Asiana