Ketua jurulatih Petaling Jaya City FC, P. Maniam, berwaspada dengan ancaman penjaring terbanyak Penang FC, Cassagrande, menjelang perlawanan Liga Super di laman sendiri Ahad ini.

Pasukan Pulau Mutiara kendalian Tomas Trucha itu sedang melalui fasa terbaik dengan rekod tanpa kalah dalam enam aksi terdahulu selain hanya dibolosi empat gol.

Antara faktor peningkatan pasukan itu sudah pasti melibatkan penyudah berkesan Cassagrande, yang meledak empat gol daripada tiga perlawanan terakhir, termasuk gol lewat permainan ketika mengikat Sabah FC 1-1 minggu lalu.

"Penang pasukan yang kuat, tidak mudah untuk berdepan pasukan seperti Penang," kata Maniam kepada Nadi Arena.

"Mereka mempunyai pemain import yang bagus, di mana kebanyakan jaringan mereka terhasil melalui tandukan.

"Kami perlu menghalang hantaran lintang mereka dan menghalangnya (Cassagrande) dalam pelbagai situasi.

"Dia salah seorang pemain utama buat Penang dan kami tidak boleh memberikannya ruang dan peluang," katanya.

Tuah ternyata tidak memihak PJ City kerana kesilapan yang dicetuskan mereka mengakibatkan pasukan Lembah Klang itu sekadar meraih lima mata daripada lima aksi terdahulu.

Bagaimanapun, Maniam, yang tidak menggunakan sebarang khidmat pemain import musim ini, mempunyai cara tersendiri untuk mengawal tekanan pasukannya.

"Pemain boleh melakukan kesilapan. Sebagai jurulatih, saya percaya pemain boleh melakukan kesilapan tetapi mereka tidak boleh mengulangi kesilapan sama.

"Anda tidak boleh beraksi dalam tekanan, terdapat 36 cara berkomunikasi dalam melakukan hantaran dan itulah yang sedang saya terapkan kepada pemain.

"Saya fikir pemain faham apa yang saya cuba sampaikan dan kerana itulah saya memberitahu mereka untuk menikmati perlawanan dan hantaran pula merupakan kunci kejayaan," tambahnya.