Pemain, jurulatih dan kakitangan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan sahaja bersetuju dengan pemotongan gaji sebanyak 33 peratus, malah akan mendermakan sebahagian daripada gaji mereka untuk disalurkan kepada Tabung Bencana Negeri Johor.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, dalam satu kenyataan dikeluarkan badan itu berkata pengorbanan yang ditunjukkan pemain dan pegawai pasukan JDT itu seharusnya dicontohi pasukan lain dalam Liga Malaysia.

"Apa yang telah ditunjukkan oleh JDT ini merupakan contoh pengurusan terbaik sesebuah kelab dalam menangani permasalahan yang boleh dianggap sebagai isu global kini,” katanya.

Menurutnya, penghargaan sudah tentu seharusnya diberikan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, di atas usaha positif ini dan cara baginda menguruskan kelab secara keseluruhannya.

Dia juga berharap agar pasukan dalam Liga Malaysia dapat mengadakan perbincangan terbuka dan mencapai satu keputusan bersama berhubung isu pembayaran gaji dalam keadaan yang sukar ketika ini demi menjaga kepentingan arena bola sepak negara.

Ahad lalu, JDT mengumumkan langkah yang diambilnya itu menerusi catatan dalam laman Facebook rasmi pasukan itu atas kesedaran mengenai situasi dan keperluan semasa demi meringankan beban kelab selepas saingan Liga-M ditangguh sejak 16 Mac lalu akibat penularan wabak COVID-19, selain membantu mereka yang terjejas dan memerlukan akibat wabak berkenaan.

-- BERNAMA