Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini menjatuhkan hukuman ke atas Pemain Petaling Jaya City, Khairil Anuar Zamri.

Bekas tonggak Perak itu digantung dua perlawanan akibat kesalahan melakukan simulasi yang melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM.

Perbuatan itu dilakukan pemain tengah tersebut dalam perlawanan Liga Super menentang Melaka United FC di Stadium MBPJ, 10 Mac lalu.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Baljit Singh Sidhu di Wisma FAM, hari ini, itu turut menjatuhkan hukuman ke atas pemain Selangor FC II, Hein Htet Aung.

Pemain import dari Myanmar itu digantung satu perlawanan gara-gara menunjukkan simbol berbaur politik ketika menentang PDRM FC, 6 Mac lalu.


Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM Kali Pertama Bagi Penggal 2021-2025 Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam...

Posted by Football Association of Malaysia on Friday, March 26, 2021

Pemain Kelantan FC, Jack Raymond Hindle, dan pemain Melaka United, Alex Goncalves, pula sekadar diberi amaran keras supaya tidak mengulangi perbuatan sama berkasar dengan pengadil.

Sementara itu, kes membabitkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa, belum diputuskan kerana insiden itu baru berlaku dan sedang melalui proses tatatertib sebelum dijatuhkan hukuman.