Pengalaman menjadi jurang di antara Felda United dan Perak apabila reaksi itu dilontarkan jurulatih The Fighters, Nidzam Jamil.

Jurulatih muda itu mengakui anak buahnya bergelut ketika berdepan pasukan lebih senior seperti The Bos Gaurus yang menyaksikan Shahrel Fikri Md Fauzi meledak empat gol dalam kemenangan 5-1 di Stadium Perak, malam tadi.

"Mereka mahu membunuh perlawanan dengan awal.

"Apabila dibolosi tiga-empat gol, sukar untuk bangkit di sini.

"Kalau kami turunkan pemain terbaik di bahagian depan, benteng pula akan terdedah.

"Kami beraksi baik dalam separuh masa pertama tetapi bertukar menjadi dua personaliti yang berbeza (dalam babak berikutnya) jadi kami perlu nilai semula perkara ini," kata Nidzam.




Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, pula menyifatkan segala-galanya berjalan dengan lancar.

"Permukaan padang agak berat malam ini dan pemain saya mengerahkan 100 peratus tenaga, sepanjang 90 minit mereka tidak pernah berhenti berlari.

"Komitmen, keazaman, keinginan dan disiplin mereka di landasan tepat.

"Sebagai jurulatih, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai keputusan malam ini tetapi ini adalah permainan terbaik kami," kata jurulatih kelahiran Australia itu.