PENANG FC 0 JDT 3

Penang FC gagal menafikan penguasaan Johor Darul Ta'zim (JDT) di puncak Liga Super selepas tewas 0-3 dalam perlawanan panas di Stadium Bandaraya sebentar tadi.

Gol daripada Safawi Rasid dan Bergson da Silva dalam babak pertama selain jaringan pemain gantian, Mohamadou Sumareh, dalam babak kedua sudah cukup menggambarkan penguasaan pasukan Harimau Selatan itu sambil Penang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Casagrande dilayangkan kad kuning kedua, tidak lama selepas gol tandukannya dibatalkan pengadil.

Malang berganda buat pasukan tuan rumah itu apabila ketua jurulatih mereka, Thomas Trucha, turut dilayangkan kad merah.

JDT membuka jaringan seawal minit ke-15 apabila penyerang kebangsaan, Safawi, bijak menghidu hantaran jauh gemilang Safiq Rahim untuk mewaskan penjaga gol, Bryan See, dengan penyudah leretnya.

Seminit sebelum tamat waktu sebenar separuh masa pertama, Bergson menggandakan kelebihan pelawat dengan memanfaatkan hantaran pemain veteran, S. Kunanlan, sebelum melakukan pusingan dan melepaskan rembatan kaki kiri ke penjuru kanan bawah gawang lawan.

Tiada sebarang kebangkitan mampu dijelmakan Penang dalam babak kedua sebaliknya JDT menambah satu lagi gol sebaik enam minit perlawanan bersambung dengan pemain naturalisasi negara, Sumareh, menemui bola muntah susulan percubaan jarak jauh Bergson yang gagal ditangkap kemas Bryan.

Hawa di Stadium Bandaraya semakin hangat apabila gol tandukan Casagrande, daripada sepakan penjuru kapten Penang, Endrick Dos Santos, dibatalkan pengadil kerana didakwa mengasari penjaga gol JDT, Farizal Marlias, dan penyerang tinggi lampai itu dilayangkan kad kuning pertamanya kerana membantah keputusan pengadil pada minit ke-78.

Sembilan minit berselang, Casagrande diarahkan keluar padang gara-gara mengasari Mauricio dalam satu insiden tanpa bola.

Susulan itu, pengendali Penang, Trucha, pula diarahkan untuk meninggalkan bangku pegawai kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Dengan kemenangan terbaru itu, JDT mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan 30 mata dan berkelebihan empat mata di depan pasukan di tangga kedua, Kedah Darul Aman FC.


2021 MALAYSIA SUPER LEAGUE Full Time PENANG [0-3] JDT (Safawi Rasid 15' / Bergson da Silva 43' / Mohamadou Sumareh 51') #PENvJDT #LigaSuper2021 #LuaskanKuasamuJohor #JDTforAll

Posted by JOHOR Southern Tigers on Saturday, 8 May 2021



Keputusan lain
Liga Super:
UiTM FC 1 Kuala Lumpur City FC 1
Sabah FC 0 Kedah Darul Aman FC 1

Liga Perdana:
Selangor II 0 PDRM FC 1

*Kredit foto: Johor Southern Tigers