Hasrat Terengganu FC untuk menghambat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), tidak kesampaian apabila tewas 1-4 kepada Penang FC dalam perlawanan di tempat sendiri sebentar tadi.

Selepas menamatkan rekod tanpa kalah selama 21 bulan pasukan Harimau Selatan itu minggu lalu, Terengganu di landasan terbaik untuk menyamai 24 mata yang dikumpulkan pendahulu liga itu tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila mereka tergelincir satu kedudukan ke tangga keempat di belakang Penang susulan kekalahan terbesar mereka musim ini.

Penang sebaliknya memperoleh gol pembukaan seawal minit kelapan apabila pemain import dari Tajikistan, Sheriddin Boboev, menanduk masuk bola sepakan penjuru daripada ketua pasukan, Endrick Dos Santos.

Skuad Harimau Kumbang itu kemudian menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-21 dengan kali ini disudahkan sendiri oleh Endrick susulan bola muntah daripada percubaan awal Casagrande dan umpanan Boboev.

Terengganu merapatkan kedudukan dalam babak kedua menerusi gol jarak jauh Hakimi Abdullah pada minit ke-59 tetapi Casagrande memastikan kemenangan Penang kendalian Thomas Trucha menerusi jaringan berganda, masing-masing pada minit ke-66 dan 68.

Kemenangan itu menyaksikan Penang mengumpulkan 22 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang seteru setempat, Kedah Darul Aman FC, dan dua mata di belakang JDT.

⚽️ LIGA SUPER 2021 - MATCH 11 ⚽️ Terengganu FC - 1 ⚽️ Hakimi Abdullah 59' PENANG FC FC - 4 ⚽️ Sheriddin Boboev 8' ⚽️ Endrick Dos Santos 21' ⚽️ Casagrande 66' 68' ? - Sultan Mizan Zainal Abidin ⏱ - FULL TIME

Posted by Penang Football Club on Saturday, 1 May 2021


Sementara itu, pertemuan dua pasukan tercorot liga di Kuantan menyaksikan Sri Pahang berpesta gol menewaskan UiTM FC 5-0.

Lee Tuck dan Pedro Henrique meletakkan skuad bimbingan Dollah Salleh itu mendahului 2-0 sebelum waktu rehat dan UiTM pula mensia-siakan peluang untuk merapatkan kedudukan apabila Victor Nirennold gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61.

Sri Pahang kemudian menambah tiga lagi gol hasil sentuhan Baqiuddin Shamsudin (66), gol penalti Herold Goulon (70) dan jaringan sendiri pemain tengah UiTM, Fahmi Sabri, pada minit ke-72.

Kemenangan itu, bagaimanapun, masih belum dapat mengeluarkan Sri Pahang daripada zon penyingkiran dengan ketinggalan satu mata di belakang pasukan di tangga ke-10, Perak, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

UiTM pula kekal bergelut mencari kemenangan pertama dengan hanya mengumpulkan satu mata sepanjang separuh pertama musim ini.

? KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS11 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Saturday, 1 May 2021


Keputusan Liga Pedana:
Sarawak United 1 Johor Darul Ta'zim II 0