Penyerang import baru Johor Darul Ta’zim (JDT), Harry Novillo, optimis dia telah membuat pilihan tepat dengan menyertai skuad Harimau Selatan itu dan turut percaya pasukan barunya itu mampu mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini.

Biarpun JDT sekadar seri 2-2 dengan Selangor dalam aksi Liga Super malam semalam, kelibat Novillo ternyata mencuri tumpuan.

Bekas pemain Olympique Lyon itu mempamerkan aksi meyakinkan sama ada sebagai pemain sayap atau penyerang sokongan.

Walaupun aksi semalam adalah penampilan pertamanya, Novillo mengakui gembira dan yakin dengan kemampuan yang dipamerkan oleh JDT.

"Ketika ini, tiada pasukan yang lebih bagus berbanding JDT. Empat kejuaraan diraih secara berturut-turut telah memberikan makna besar.

"Apa yang saya dapat lihat dalam aksi pertama saya bersama pasukan, nasib tidak menyebelahi untuk mendapatkan kemenangan," kata Novillo.

Sementara itu, pemangku ketua jurulatih JDT, Raul Longhi, mengakui dua gol lawan adalah hasil kealpaan anak-anak buahnya sehingga memberikan ruang buat lawan.

"Ya, ia adalah kesilapan kami. Pasukan lawan memberikan tekanan dan kami dapat memperbaiki kelemahan dalam separuh masa kedua," kata Longhi.